Menegakkan agama Allah pasti akan menempuh kesusahan. Dihina, diejek, dimaki itu perkara biasa. Bukan menegakkan agamaNya jika tidak melalui jalan kedukaan. Itu jalan yang pasti. Pasti dan mesti dilalui oleh semua yang menggelar diri pejuang menegakkan agama Allah.

Berjuang tidak boleh bersendirian; tidak boleh berseorangan. Jika berseorangan bimbang dibaham serigala yang menggila.

Hidup seorang pejuang, jadualnya tidak sama dengan manusia kebanyakan. Ada ketikanya hilang kawan jika tidak ditangani dengan baik. Itu antara mehnahnya. Jiwa pejuang ada naik turunnya. Ada pasang surutnya. Tidak selamanya bersemangat. Tidak selamanya betul. Ketika tidak bersemangat dan salah itulah perlunya sahabat seperjuangan. Buat mendamaikan jiwa yang resah. Ketika tidak bersemangat dan salah itulah perlunya alim ulama', murabbi-murabbi, buat meluruskan kembali jalan yang membengkok.

Namun tidak selamanya mereka mampu membantu. Tidak selamanya mereka disisi. Kerana mereka manusia. Tetapi Allah sentiasa akan membantu. Dia sentiasa berada disisi setiap pejuang agamaNya.

Berjuang bukan kerana manusia, tetapi kerana Allah.