17 September 2010

Ibu


Doanya mampu memberikan cahaya,
juga mampu memadamkan cahaya.

Doanya mampu menjulang gemilang
si anak soleh,
juga mampu melumpuhkan tongkat
si anak durjana.

Tajamnya mata pedang
begitu jualah tajamnya doa ibu.

Posted on Friday, September 17, 2010 by Zul Rasyied

No comments

26 August 2010

Posted on Thursday, August 26, 2010 by Zul Rasyied

No comments

18 August 2010


Bismillahirrahmanirrahim,

Sudah beberapa hari dalam bulan termulia bulan Ramadhan kali ini berlalu. Terasa hari-hari yang berlalu bagaikan pergi begitu sahaja tanpa terisi di dalamnya intan, emas, dinar serta dirham yang terpilih. Ah, ruginya. Apakah kita betul-betul menghargai pemberian Allah ini. Dia telah memberikan kita kesempatan untuk menjejakkan amalan dan tauba kita di bulan Ramadhan ini. Dia berikan kita peluang dan harapan untuk kita memohon keampunan. Hanya angkat tangan, tetapkan hati dan berdoa sungguh-sungguh, insyaAllah keampunan pasti menjadi milik kita. Tetapi apakah yang telah kita lakukan?

"Tepuk dada tanya iman"

Jalan 1

Jalan ini memerlukan sejambak kesabaran. Jangan lihat sahaja. Jikalau jalan ini menjadi pilihan kita. Kita kena berlari, kena mengejar, memang sangat letih namun berbaloi. Rasulullah S.A.W. banyak memberikan kepada kita tips untuk kita menyalakan unggun api semangat kita agar kita lebih berusaha di bulan Ramadhan yang mulia ini.

“Permulaannya adalah rahmat, tengahnya adalah ampunan dan akhirnya adalah pembebasan dari api neraka.”
Dan Allah Ta’ala pada malam pertama darinya melihat kepada kaum muslimin dan siapa yang Allah melihat kepadanya, maka Dia tidak menyiksanya dan Dia mengampuni mereka pada malamnya yang terakhir.
Perlu sentiasa istiqamah memohon keampunan darinya

“Barangsiapa berpuasa di bulan Ramadlan dan mengerjakan shalat malam di bulan itu dengan penuh keimanan dan mengharap pahala, maka di ampunilah dosanya yang terdahulu.”
Aku katakan, iman ialah mempercayai Janji Allah sedangkan Ihtisab adalan keikhlasan kerana Allah.
Kena paksa diri untuk bangun di tengah malam untuk qiamullail.

"Bulan Ramadhan, iaitu bulan yang di dalamnya di turunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu sebagai pembeda(antara yang hak dan batil)." (al-baqarah 185).

Al-Quran mesti dibaca walaupun kita tergagap-gagap. Gagap kita itu pasti akan dikira Allah. InsyaAllah.


Jalan 2


Jalan ini merupakan jalan yang paling mudah. Lihat dan lihat. Tunggu dan tunggu.
Bazirkanlah masamu di bulan Ramadhan kali ini setelah Allah berikan peluang kepadamu. Sedangkan Allah telah bersumpah di dalam Al-Quran tentang masa. Ah, lantaklah.
Ah, lantaklah. Biarkanlah. Malas. Banyak lagi kerja lain nak kena buat.

Ramai yang cuba mengisi borang permohonan 6 bulan, sebulan, seminggu, sehari sebelum Ramadhan, namun Allah tidak menerimanya. Lantas mereka pergi bertemuNya.

Ah, masa kita untuk menemuiNya lambat lagi.

p/s :
Pilihlah Jalan 1 atau Jalan 2. Marilah kita sama-sama berlumba untuk mengejar dan menambah amalan kita di bulan Ramadhan ini.

Posted on Wednesday, August 18, 2010 by Zul Rasyied

No comments

Bismillahirrahmanirrahim,

"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kalian berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kalian agar kalian bertakwa." (Al-Baqarah:183)

Sesungguhnya di dalam bulan ini jugalah Allah telah menurunkan kitabnya dan memilih salah satu dari malamnya sebagai Malam Lailatul Qadr. Ya, semua orang mengetahui malam Lailatul Qadr merupakan malam yang lebih baik dari seribu bulan dan seribu bulan lebih banyak dari 83 tahun. Firman Allah,

“Bulan Ramadlan, yaitu bulan yang di dalamnya di turunkan (permulaan) Al Qur’an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang batil).” (Al Baqarah 185).
Kemudian Allah menurunkan Surah Al-Qadr. Allah memberitahu kita bahawa dia menurunkan di bulan Ramadhan dan di malam Qadr secara khusus. Al-Quran diturunkan sekaligus dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah iaitu langit terdekat dunia kemudian Allah memerintahkan Jibril a.s menurunkan Al-Quran kepada Rasulullah secara beransur-ansur selama 23 tahun. Itu adalah masa turunnya wahyu kepada Rasulullah yang ketika itu berusia 40 tahun dan baginda wafat pada usia 63 tahun.

Posted on Wednesday, August 18, 2010 by Zul Rasyied

No comments

15 June 2010

Bismillahirrahmanirrahim,

Berikut merupakan senarai syuhada yang telah gugur sepanjang misi menyampaikan bantuan tersebut sebagaimana laporan laman web Haluan Palestin:

1. Ibrahim Bilgen, 61, seorang jurutera elektrik dari Siirt, Turki. Ahli Chamber of Electrical Engineers di Turki, berkahwin dan mempunyai enam orang anak.

2. Ali Haydar Bengi, 39, dari Diyarbakir. Graduan Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir. Telah berkahwin dan mempunyai empat cahaya mata.

3. Cevdet Kiliçlar, 38, Seorang wartawan dari Kayseri, Turki. Telah berkahwin dan mempunyai dua orang putera.

4. Çetin Topçuoglu, 54, dari Adana, Turki. Pemain bola amatur dan jurulatih taekwondo yang melatih atlet taekwondo Turki. Berkahwin dan mempunyai seorang cahaya mata.

5. Necdet Yildirim, 32, dari Malatya, Turki. Berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan berusia tiga tahun.

6. Fahri Yaldiz, 43, seorang ahli bomba di Adiyaman, Turki. Telah berkahwin dan mempunyai empat orang anak.

7. Cengiz Songür, 47, dari Izmir, Turki. Berkahwin dan mempunyai tujuh orang anak.

8. Cengiz Akyüz, 41, dari Iskenderun, Turki. Berkahwin dan mempunyai anak berusia 14, 12 dan 9 tahun.

9. Furkan Dogan, 19, as-syahid termuda dalam kalangan yang syahid, merupakan pelajar Kayseri High School. Anak kepada Dr. Ahmet Dogan, seorang professor di Erciyes University. Warganegara Turki-Amerika dan mempunyai dua adik beradik.

Posted on Tuesday, June 15, 2010 by Zul Rasyied

No comments



Bismillahirrahmanirrahim,


Dunia ini lama tidak aku coretkan sesuatu, hmm kemalasan melanda diriku lagi...Sifat yang tidak sepatutnya menjalar dalam diri seorang muslim...Apakah aku betul mengamalkan sunnah Rasulku, Tuan Guru juga Murabbi utama...Allah bantulah aku membantutkan usaha makhlukmu yang engkau laknati ia...

Beberapa hari yang lalu aku, dan beberapa orang rakanku hinggap sebentar di "Kerusi Termenung"(panggilan kami) di bahagian belakang masjid, kemudian datang beberapa anak kecil bermain berdekatan kami , seorang kami tangkap, niat di hati ingin bergurau...namun gurauan mereka bersama kami membuatkan aku terfikir...

"Ya Allah, alangkah betapa hebatnya Engkau, mereka yang sekecil ini sudah mengerti erti ukhwah"

Setelah seorang kami tangkap, yang lain cuba menarik kembali anak kecil yang telah kami tarik itu. Mereka sedaya upaya menarik kembali adik mereka. Namun tidak berdaya. Beberapa kali kami lepaskan juga namun kami tangkap kembali. Wah, hebat mereka makin tidak berdaya makin hebat mereka mencuba.

Berotak Geliga

Setelah beberapa lama, mereka tidak selamatkan adik mereka namun bercakap sesama sendiri. Kemudian mereka pergi tinggalkan kami sambil menjerit,

"Abi dah nak balik, Abi dah nal balik"

Beberapa kali mereka menjerit menyebabkan anak kecil yang kami tangkap itu terdengar dan mula menangis. Terkejut juga kami dibuatnya (hehe). Lalu kami lepaskan anak kecil itu. Setelah kami lepaskan, kemudian mereka datang pada kami sambil menjerit,

"Yeyey, adik dah lepas. Yeyey adik dah lepas"

Mereka melompat keriangan. Aduh, kami ditipu rupanya. Hmm jawabnya tepuk dahilah kami. Rupa-rupanya sekecil mereka reti dan cerdik dalam konsep syura dan ukhwah walau mereka tidak mengerti akan istilah dan bahasanya.

Dalam diam aku bermonolog;

"Moga kalian menjadi pejuang Islam, menjadi Mujahid dan Mujahidah Solehah. Kalianlah penerus Sunnah Rasulullah"

p/s : Apakah aku sudah benar-benar mengerti?

Posted on Tuesday, June 15, 2010 by Zul Rasyied

2 comments

16 April 2010


1) SABAR ATAS KETAATAN

" Barangsiapa yang sabar atas ketaatan kepada ALLAH S.W.T, maka ALLAH memberikan seratus darjat dan setiap darjat sama dengan apa yang ada di langit dan di bumi"


2) SABAR ATAS KEMAKSIATAN


"Barangsiapa yang sabar dari berbuat maksiat, maka ALLAH memberikan enam ratus darjat dan setiap darjat sama dengan apa yang ada di langit dan di bumi"


3) SABAR ATAS MUSIBAH


"Dan barangsiapa yang sabar atas musibah, maka ALLAH S.W.T memberikan pahala tanpa perhitungan sedikitpun"


Ali Ibnu Abi Talib Karromallahu Wajhah-

Posted on Friday, April 16, 2010 by Zul Rasyied

No comments

Posted on Friday, April 16, 2010 by Zul Rasyied

No comments

29 March 2010


Pagar yang memisahkan antara penonton lelaki (kanan) dan wanita (kiri).

KOTA BHARU, 28 Mac – Penganjur Konsert Jom Heboh yang berlangsung di Stadium Sultan Mohd Ke-IV, di sini malam tadi mengotakan janji untuk mematuhi syarat dikenakan kerajaan negeri, antaranya pengasingan tempat duduk antara penonton lelaki dan perempuan.

Selain itu hanya artis lelaki – tiada artis perempuan sebagaimana lazimnya – yang membuat persembahan pada konsert Jom Heboh pertama selepas pelancaran di Stadium Bukit Jalil hujung Februari lalu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Media Prima, Dato’ Sri Ahmad Farid Ridzuan, pihaknya bercadang untuk menjadikan konsert Jom Heboh di Kota Bharu sebagai model bagi konsert seterusnya di negeri-negeri lain bermula di Johor Bahru selepas ini.

Sambil melahirkan rasa kagumnya di atas sambutan amat menggalakkan Ahmad Farid secara jujur mengakui Kelantan adalah negeri yang begitu berjaya bagi penganjuran program Jom Heboh selama dua hari.

“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz serta kakitangan kerajaan negeri yang begitu mesra dalam memberi kerjasama kepada kami dalam menjayakan program ini untuk kali pertama di Kelantan dan Insya-Allah ia akan diadakan pada setiap tahun di sini sekiranya mendapat kelulusan pihak kerajaan negeri,” katanya.

Menurut beliau, pihak penganjur tiada masalah untuk memenuhi syarat dikenakan kerajaan negeri termasuk pengasingan tempat duduk lelaki dan wanita serta tiada persembahan melibatkan artis wanita.

“Alhamdulillah semuanya berjalan lancar.. kita akur akan syarat dikenakan.. begitu juga Baginda Tengku Mahkota Kelantan yang berangkat pada hari pertama program (Jumaat).. Baginda sangat gembira melihat rakyat negeri ini mengambil kesempatan membawa bersama keluarga masing-masing khasnya bagi mengikuti program Al-Kulliyyah.

“Saya juga ingin memohon maaf kepada kerajaan Kelantan sekiranya selama dua hari Jom Heboh berada di Kelantan ada sedikit sebanyak kekurangan yang berlaku dan ia akan ditingkatkan pada masa akan datang.

“Saya lihat penonton begitu gembira hadir ke konsert ini walaupun mereka di bahagikan kepada tiga tempat yang dihalang dengan pagar besi di antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui sejurus konsert berakhir malam tadi.

Dianggarkan lebih 50,000 penonton, kebanyakannya golongan muda mudi membanjiri segenap ruang Stadium Sultan Mohd Ke-IV untuk mengikuti konsert Jom Heboh yang pertama kali berlangsung di negeri ini.

Antara artis yang mengadakan persembahan malam tadi termasuk Kumpulan Raihan, Yassin (bekas anggota kumpulan nasyid Brothersa), Jamal Abdillah, Jay Jay dan artis dikir barat tersohor negeri ini, Megat Nordin.




Konsert Jom Heboh di Kota Bharu berjaya mengasingkan antara penonton lelaki dan wanita serta pasangan berkeluarga.



sebahagian penonton wanita yang memenuhi Stadium Sultan Mohd Ke-IV untuk mengikuti konsert Jom Heboh TV3.



Sebahagian daripada puluhan ribu penonton yang memenuhi Stadium Sultan Mohd Ke-IV untuk menyaksikan Konsert Jom Heboh dari dekat.



Konsert Jom Heboh TV3 yang berjaya dianjurkan buat pertama kali di Kelantan.


Kawasan yang dikhaskan untuk pasangan keluarga.

Posted on Monday, March 29, 2010 by Zul Rasyied

No comments

24 March 2010


Bismillahirrahmanirrahim,

Setiap apa yang kita lakukan dalam hidup kita, kita perlulah sentiasa mempunyai adab sopan dan beransur-ansur dalam setiap tindakan kita. Agar tindakan atau keputusan yang telah kita ambil itu merupakan keputusan yang terbaik. Pepatah Melayu ada menyebut "Biar Lambat Asal Selamat".

Begitu juga dalam kita melakukan gerak kerja Islam. Ini kerana jalan yang bakal kita lalui adalah hebat cabarannya dan jauh perjalanannya. Manakala matlamatnya pula adalah besar dan mulia. Apabila kita sentiasa beransur-ansur dalam melakukan gerak kerja Islam dan memberikan tumpuan kepada kerja-kerja tertentu mengikut keperluan, ia akan membawa gerak kerja Islam kepada matlamat sebagaimana yang dikehendaki.

Maka Imam Hassan al-Banna telah menetapkan bahawa dakwah ini mempunyai tiga peringkat(marhalah) atau tangga yang mesti di naiki tanpa langkauan :

  1. Peringkat Pengenalan (Ta'rif)
  • Ia dimulakan dengan menyiarkan fikrah secara umum tenang Islam kepada orang ramai. Caranya adalah dengan menimbulkan kesedaran, memberikan pengajaran, mendirikan institusi yang memberikan faedah dan sebagainya yang dirasakan sesuai.
2. Peringkat Pembentukan (Takwin)
  • Peringkat ini dilaksanakan dengan memilih mereka-mereka yang baik (dari marhalah pertama) dan sanggup memikul beban jihad dengan cara menggemblengkan tenaga mereka dalam kerja-kerja dakwah. Susunannya adalah bersifat kesufian dari sudut kerohanian dan ketenteraan dari sudut gerak kerja. Dakwah pada peringkat ini tidak dapat dilaksanakan kecuali oleh orang yang benar-benar mempunyai persediaan untuk memikul bebanan jihad yang berat dan memakan waktu. Persediaan yang paling awal boleh dilakukan adalah dengan meletakkan kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada perjuangan Islam.
3. Peringkat Perlaksanaan (Tanfiz)
  • Dakwah dalam peringkat(marhalah) ini adalah jihad yang tidak mengenal penat lelah dan kerehatan malah amal yang tidak mengenal putus asa demi mencapai matlamat yang diperjuangkan. Ujian dan cabarannya tidak dapat dihadapi melainkan oleh orang yang benar keimanannya. Kejayaan tidak berhasil melainkan dengan memberikan ketaatan yang sempurna dan mutlak.

Wallahu'alam.

Posted on Wednesday, March 24, 2010 by Zul Rasyied

No comments

22 February 2010


Bismillahirrahmanirrahim

Ketika termenung mengadap laptop yang kian menjadi temanku tatkala aku menjejakkan kaki di kampus bumi bertuah ini, teringat aku suatu kisah yang menjadi kenangan dan pengajaran serta pengalaman buatku, dalam menempuh mehnah Dunia Seorang Daie. Bukan kisah hikayat 1001 malam tetapi buah bicara, tutur indah yang mengutipku di tepi jalan perjuangan.

"Nak tak jadi naqib?" soal naqib kesayanganku pada suatu malam.

"Abg, saya tak nak jadi naqib", jawabku ringkas.

Aku menyuarakan suara hatiku pada naqib kesyanganku apabila aku ditanya tentang persoalan itu. Berkali-kali aku ditanya malah aku hampir bosan dengan pertanyaan dari naqibku. Biasanya dia akan diam apabila aku memberikan jawapan itu.

Namun malam itu aku rasa lain sedikit. Dengan angin yang bertiup dingin sejuk tetapi mendamaikan. Desiran angin yang bagaikan membisikkan sesuatu padaku.

"Ada sesuatu yang abg ingin bicarakan", tutur naqibku perlahan.

Gayanya agak lain sedikit malam itu. Lenggok bahasanya nampak agak berat. Bagaikan ada sesuatu beban yang ingin dia kongsikan bersamaku. Beban yang ingin dia aku sama-sama merasainya.

"Apa dia abg?"

"Kalau boleh abg nak tau kenapa adik tak nak jadi naqib"

"Hmm saya bukan tak nak abg, tapi hmm entahlah abg saya cuma tak pasti", aku keliru.

"Adik kita dah dua semester kenal, abg dah anggap adik macam adik abg sendiri, masalah adik bagaikan masalah abg"

"Macam ni abg, saya tak nak jadi naqib bukan sebab apa, saya lihat naqib nie susah sangat kerjanya, nak kena sampaikan macam-macam pada orang-orang yang macam saya nie, saya dahla takde ilmu sgt macam abg, saya takut saya tak dapat nak sampaikan seperti mana yang abg sampaikan pada saya. Saya tak mampu abg, saya tak kuat macam abg, saya lemah, banyak sangat kelemahan"

Aku hampir menitiskan air mata, rasanya tidak sanggup aku luahkan itu semua pada naqibku yang aku anggap seperti abgku sendiri. Tidak sanggup aku luahkan sesuatu yang menghampakan harapan naqibku.

"Hmm adik...", naqibku mula menuturkan bicaranya.

"Abg faham perasaan adik, malah abg dulu pun seperti adik, apabila ditanya oleh naqib abg tentang perkara ini, jawapan abg juga hampir sama dengan adik. Abg melalui apa yang adik rasa sekarang. Tetapi adik harus fikirkan sebelum adik mengeluarkan jawapan adik tadi", naqibku mula membaca sedikit demi sedikit permainan mindaku.

Naqibku meneruskan kalamnya "Memanglah kerja seorang naqib ini terlalu berat, tetapi adik perlu fikirkan kerja seorang naqib bukanlah mengajar, tetapi hanyalah sebagai pemudah cara adik. Adik harus ingat kami ini suatu hari nanti akan pergi meninggalkan adik-adik."

"Siapa lagi yang akan membantu kami, membantu orang-orang yang terdahulu sebelum kami meneruskan, memberi peringatan pada yang lain tentang ajaran Islam jika bukan adik-adik. Siapa lagi yang boleh abg-abg harapkan jika bukan adik dan yang lain teruskan ini semua."

Allah...pada malam itu dadaku terasa berat, bagaikan ada sesuatu yang terlalu dan teramat berat menimpa diriku dengan sekelip mata...Suatu bebana yang tidak mampu aku alihkan..

Tiada sesiapa yang mampu kecuali Allah yang Maha Berkuasa..Tetapi ini adalah taklifan dariNya..Mana mungkin aku menolak..Dia tidak akan membebankan hambaNya melainkan dengan apa yang termampu dibuat oleh hambanya..Dia Maha mengetahui keadaan diriku..

Posted on Monday, February 22, 2010 by Zul Rasyied

2 comments

09 February 2010


Sesungguhnya Engkaulah yang membawa keturunan kami ke jalan kebenaran. Sehingga aku diizinkan Allah tergolong dalam umatmu. Allah...sungguh besar dan tidak terhingga nikmat ini...

Rasulullah
Album : Cahaya Ilahi
Munsyid : Hijjaz
http://liriknasyid.com


Rasulullah dalam mengenangmu
Kami susuri lembaran sirahmu
Pahit getir perjuanganmu
Membawa cahaya kebenaran

Engkau taburkan pengorbananmu
Untuk umat mu yang tercinta
Biar terpaksa tempuh derita
Cekalnya hatimu menempuh ranjaunya

Tak terjangkau tinggi pekertimu
Tidak tergambar indahnya akhlak mu
Tidak terbalas segala jasa mu
Sesungguhnya engkau rasul mulia

Tabahnya hatimu menempuh dugaan
Mengajar erti kesabaran
Menjulang panji kemenangan
Terukir nama mu di dalam Al Quran

Rasulullah kami ummatmu
Walau tak pernah melihat wajah mu
Kami cuba mengingatimu
Dan kami cuba mengamalsunnah mu

Kami sambung perjuanganmu
Walau kita tak pernah bersua
Tapi kami tak pernah kecewa
Allah dan rasul sebagai pembela

Posted on Tuesday, February 09, 2010 by Zul Rasyied

No comments

02 January 2010


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan bahawa larangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap penggunaan perkataan 'Allah' adalah tidak sah.

Berikutan itu, mahkamah membenarkan permohonan Gereja Katholik untuk mengetepikan larangan tersebut.

Hakim Lau Bee Lan berkata arahan oleh menteri dalam negeri itu adalah 'tidak sah dan batal”.

Menurutnya, akhbar mingguan The Herald boleh menggunakan perkataan 'Allah' dan menegaskan bahawa perkataan tersebut bukan hanya ekslusif untuk Islam sahaja.

Keputusan mahkamah mengetepikan larangan KDN itu, akan memboleh The Herald dan penerbitan bukan Islam yang lain, menggunakan perkataan 'Allah' sebagai terjemahan bagi perkataan 'Tuhan' dalam versi bahasa Melayu mereka.

Hakim Lau berkata semua rakyat Malaysia mempunyai hak perlembagaan untuk menggunakan perkataan 'Allah'.

Bagaimanapun, memandangkan implikasi kes ini, KDN dijangka memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi hari ini.

sumber : malaysiakini.com-Hazlan Zakaria

Posted on Saturday, January 02, 2010 by Zul Rasyied

No comments

29 December 2009


Sebuah gerakan islam ataupun Harakah Islamiyyah myakini bahawa perbezaan (differences) dalam perkara furu'iyyah (perkara cabang) dalam feqah merupakan suatu perkara yang sememangnya tidak dapat dielakkan. Atas sebab inilah maka Harakah Islamiyyah berusaha sedaya upaya untuk menyeru umat Islam agar sentiasa bersatu di atas perkara-perkara dasar iaitu perkara-perkara pokok di dalam Islam.

Di atas pendirian ini maka Imam Hassan Al-Banna telah berkata

"Kita bukanlah sebuah parti politik, sekalipun parti politik (siasah) yang berasaskan kaedah-kaedah Islam adalah intisari fikrah kita. Kita bukanlah pertubuhan kebajikan sekalipun 'amal kebajikan dan khairat adalah di antara tujuan gerakan kita yang sangat besar. Kita juga bukanlah perkumpulan riadah sekalipun riadah atau rekreasi jasadiyyah dan riadah ruhiyyah adalah di antara wasilah-wasilah yang kita amalkan.

Kita bukanlah sebuah jama'ah dalam pengertian seperti pertubuhan-pertubuhan tersebut kerana kelahiran pertubuhan tersebut adalah untuk matlamat2 tertentu dan untuk jangka waktu yang tertentu pula. Boleh jadi pertubuhan-pertubuhan berkenaan ditubuhkan semata-mata kerana ingin mengadakan persatuan dan cita-cita inginkan gelaran dan kedudukan dalam pentadbiran dan organisasi tersebut?

Tetapi perjuangan kita adalah perjuangan yang berdasarkan fikrah dan 'aqidah, nizam dan manhaj yang tidak membataskan tujuan dan matlamat hanya kepada bangsa tertentu dan kawasan atau wilayah tertentu sahaja. Perjuangan kita tidak akan berhenti dengan penyelesaian masalah tertentu malah ia akan berterusan hingga ke hari kiamat kerana Islam adalah sistem ciptaan Tuhan alam semesta ini dan manhaj RasulNya yang paling dipercayai.

Kita menyatakan kepada manusia secara tidak bermegah2 bahawa kita adalah pegikut Rasulullah S.A.W. yang menjadi pembawa panji2 Islam selepas kewafatan baginda. Kita adalah angkatan yang menjulang kembali bendera Rasulullah sebagaimana para sahabatnya. Kita akan menyiarkan dakwah baginda sebagaimana yang telah disiarkan oleh mereka. Kita akan memelihara kandungan kitab suci Al-Quran sebagaimana para sahabat telah memeliharanya. Kita adalah pembawa berita gembira melalui dakwah baginda sebagaimana para sahabat telah melakukannya dan ia akan menjadi rahmat seluruh alam. Anda pasti akan dapat mengetahui perkhabarannya dalam sedikit masa lagi".....

Posted on Tuesday, December 29, 2009 by Zul Rasyied

No comments


Singgah di tepi muara,
Hajatnya nak memetik buah ara,
Assalamualaikum ditutur pembuka kata,
Apa khabar wahai sahabat pandai bicara...

Sepatutnya coretan ini telah lama saya lakarkan di ruangan blog saya ini, namun di sebabkan beberapa faktor kekangan masa (beralasan lagi..heheh), menyebabkan saya kelewatan mengpostkan(bahasa rojak, don't try this at home) tulisan ini.

Diharapkan masih belum terlewat untuk saya ucapkan Selamat Tahun Baru Hijrah pada saudara-saudari seiman seaqidah saya sekalian, moga Allah S.W.T memberikan kita lebih keberkatan di permulaan tahun ini iaitu 1431 Hijrah. Moga2 doa awal tahun yang kita baca ketika masuknya tahun baru islam diterima dan seterusnya dimakbulkan Allah S.W.T.. Moga2 tahun ini menjadi tahun bagi kita semua melakukan satu anjakan paradigma dari yang kurang baik kepada perkara yang baik dan dari perkara yang baik kepada yang lebih baik, InsyaAllah.
Ayuh muslimin dan muslimat sekalian kita tinggalkan segala wajah yang layu, kita tinggalkan segala bicara pilu, kita kuburkan gerak langkah yang lesu, ayuh bangkitlah kembali menjulang Al-Quran dan As-Sunnah, menjulang dan memperjuangkan Islam yang tercinta agar terbina kembali tamadun Islam yang agung, agar terpahat kembali KHILAFAH ISLAMIYYAH, yang ditinggalkan oleh Penunjuk Jalan Kebahagiaan, Rasulullah S.A.W.. Ingatlah, kita bukan memulakan perjuangan, tetapi kita adalah rantai2 yang menyambung perjuangan mereka yang terdahulu.

Hijratul Rasul merupakan suatu pembangunan modal insan yang telah dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. lebih kurang 1431 tahun yang lalu. Aspek utamanya adalah untuk membangunkan manusia ke arah jejak perubahan yang berasaskan risalah tauhid yang agung. Sasaran utama baginda adalah makhluk yang berglar INSAN. Berlakunya perubahan dalam diri setiap Insan adalah syarat utama bagi berubahnya perkara2 yang lain. Di sebabkan perkara inilah Rasulullah membangunkan manusia terlebih dahulu di Makkah sebelum berhijrah selama lebih kurang 13 Tahun lamanya bagi membolehkan manusia yang menggabungkan dirinya dengan agama agung ini sentiasa istiqamah dengan satu perjuangan yang pastinya teramat panjang dan sukar perjalanannya. Sentiasa dipenuhi dengan lingkaran onak dan duri. Hasilnya terbukti apabila terbinanya suatu Tamadun Agung, iaitu Tamadun Islam. Tamadun Islam menjadi suatu rolemodel yang terbaik kerana meletakkan akhlak sebagai asas qudwahnya, keseimbangan di antara duniawi dan ukhrawi.

Membuat kajian terhadap hijrah rasul agung dan mengimbau kembali kenangan silam tidak akan menjadikan kita tergamam dan bodoh. Sebaliknya ia memberikan kita suatu pengajaran agar kita tidak melakukan dan mengulang kesilapan yang sama dua kali. Masuk lubang sama dua kali. Hijratul Rasul mengajar kita agar sentiasa melakukan perubahan sistem kepercayaan dan sistem hidup yang lebih fitrah sifatnya.

Wallahu'alam..

Posted on Tuesday, December 29, 2009 by Zul Rasyied

No comments

12 December 2009

Semua akan dikehendaki hadir tanpa sebarang pengecualian (Wajib)

KEKOSONGAN JAWATAN:
a. Ahli Syurga Dari Awal.
b. Ahli Neraka Dari Awal.
c. Ahli Neraka Sementara Kemudian Akan Dilantik Jadi Ahli Syurga.

EMPAT GANJARAN LUMAYAN (khas untuk jawatan a):
1. Nikmat kubur.
2. Perlindungan di Padang Mahsyar.
3. Keselamatan Meniti Titian Sirat.
4. Syurga yang kekal abadi.

TARIKH TEMUDUGA:
Bila-bila masa secara adhoc bermula dari saat membaca iklan ini.

LOKASI TEMUDUGA:
Di dalam kubur (alam barzakh).


KELAYAKAN:
Anda tidak perlu bawa siji-sijil.
Anda tidak perlu bawa pingat.
Anda tidak perlu bawa wang atau harta (yg banyak).
Anda tidak perlu berparas rupa yg cantik, hensem atau berbadan tegap atau seksi.
Sila bawa dokumen asal Iman dan Amal.

PANEL/PENEMUDUGA:
Mungkar dan Nakir.

ENAM SOALAN BOCOR:
1.Siapa Tuhan anda?
2.Apa Agama anda?
3.Siapa Nabi anda?
4.Apa Kitab anda?
5.Di mana Kiblat anda?
6.Siapa Saudara anda?



CARA MEMOHON:
Anda cuma perlu menunggu penjemput yang berkaliber untuk menjemput anda. Ia akan menjemput anda pada bila-bila masa saja (mungkin sekejap lagi). Ia akan berlembut kepada orang-orang tertentu dan akan bengis kepada orang-orang tertentu. Ia diberi nama Izrail.

TIPS UNTUK BERJAYA DALAM TEMUDUGA TERTUTUP INI:

Hadis hasan yang diriwayatkan oleh Ahmad Hanbal, yang bermaksud begini:

Sabda Rasullah SAW: Sesungguhnya apabila jenazah seseorang itu diletakkan di dalam kuburnya, sesungguhnya jenazah itu mendengar suara terompah (kasut) orang-orang yang menghantarnya ke kubur pada saat mereka meninggalkan tempat itu. Jika mayat itu seorang muslim, maka solat yang dilakukannya ketika beliau masih hidup di dunia akan diletakkan di kepalanya, puasanya diletakkan di sebelah kanannya, zakatnya diletakkan di sebelah kirinya dan amalan kebajikan daripada! sedekah, silaturrahim, perkara kebajikan dan ihsan diletakkan di hujung dua kakinya. Ia akan didatangi malaikat dari aras kepala, maka solat itu berkata kepada malaikat: dari arasku tidak ada jalan masuk. Kemudian malaikat berpindah ke sebelah kanan, maka puasa berkata kepadanya: dari arasku tidak ada jalan masuk. Kemudian malaikat berpindah ke sebelah kiri, maka zakat berkata kepadanya: dari arasku tidak ada jalan masuk. Kemudian di datangi dari arah kedua hujung kakinya dan berkatalah amal-kebajikan: dibahagianku tidak ada jalan masuk. Maka malaikat berkata kepadanya: Duduklah kamu. Kepadanya (mayat) diperlihatkan matahari yang sudah mula terbenam, lalu malaikat bertanya kepada mayat itu: Apakah pandangan kamu tentang seorang laki-laki(muhammad) yang kamu dahulu sentiasa bercakap tentangnya; dan bagaimana penyaksian kamu kepadanya? Maka berkata mayat itu: Tinggalkan aku sebentar, aku hendak sembahyang. Maka berkata malaikat: Sesungguhnya engkau akan mengerjakan solat (boleh saja solat) tetapi jawab dahulu apa yang kami tanya ini. Apakah pandangan kamu tentang seorang laki-laki (Muhammad) yang kamu dahulu sentiasa bercakap tentangnya; dan bagaimana penyaksian kamu kepadanya? Maka berkata mayat itu: Laki-laki itu ialah Nabi Muhammad saw dan aku naik saksi bahawa nabi Muhammad saw itu ialah pesuruh Allah yang membawa kebenaran daripada Allah Subhanahu Wata'ala. Maka malaikat berkata kepada mayat itu: Demikianlah kamu dihidupkan dan begitu juga kamu dimatikan dan dengan demikian juga kamu dibangkitkan semula di akhirat insya'Allah. Kemudian dibuka baginya satu pintu syurga, maka dikata padanya itulah tempat kamu dan itulah janji Allah bagi kamu dan kamu akan berada di dalamnya. Maka bertambahlah gembira mayat itu. Kemudian dilapangkan kuburnya seluas 70 hasta dan disinari cahaya baginya"

Nampaknya pertahanan kita perlu kuat dari semua aras (kepala, kanan, kiri dan hujung kaki).! Macam mana nak kuat?? Itulah persoalan yang perlu kita selesaikan..

Posted on Saturday, December 12, 2009 by Zul Rasyied

No comments

09 December 2009


“Segala pujian bagi Allah yang menyempurnakan kejadianku dan mencantikkan dan memuliakan rupaku, kemudian memperelokkannya dan menjadikan aku orang Islam.”

Begitulah lebih kurang doa yang senantiasa kita baca setiap kali kita menghadap benda(item) yang boleh memantulkan (reflect) imej kita kembali. Dalam aku termenung sendirian(entahlah dan berapa kali termenung..banyak dah kot..hehe)..teringat aku akan kisah cermin yang aku dan beberapa orang sahabatku omongkan..di bhagian beranda masjid atas kerusi kayu..mulanya hanyalah perbualan kosong..namun setelah beberapa ketika kami mula berbincang tentang soal hati..bukan soalnya siapa dalam hati..tetapi pergolakan jiwa yang sentiasa berlaku..kadang-kadang si malaikat yang menang dan kadang-kadang malaikat yang kalah, tewas jatuh tersungkur menyembah lantai hati…lawannya sudah tentulah si bangsat syaitan laknatullah yang dihumban ke dunia taktala di suruh Allah Azzawajalla sujud pada Adam a.s. dia engkar..pergolakan ini sentiasa berlaku sehinggalah hari kiamat kelak..berperang antara yang haq dan batil…

Waktu perbualan kami selepas Isyak hari apa dah tak ingat…namun banyak yang kami bincangkan..perbualan kami banyak tertumpu bagaimana nak membaiki hati(qalbu), uslub dalam membaiki hati supaya kembali bersih…

Dari Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda : “Manusia, dua matanya itu pemberi petunjuk. Kedua telinganya itu corong. Lidahnya itu juru bahasa, Kedua tangannya itu sayap. Kedua kakinya itu pos. Dan hatinya itu raja. Apabila raja itu baik, nescaya baiklah tentera-tenteranya”. [HR Abu Na'im dan Thabrani].

Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada tubuh kamu dan tidak pula kepada rupa kamu, tetapi Dia memandang kepada HATI kalian”. [HR Muslim]

Cermin ini jika diteliti kegunaannya sangat banyak sehingga ianya boleh kita gunakan untuk dianalogikan sebagai hati kita..hati kita ini ibarat satu cermin yang bersih kemudian kita ambil satu marker pen hitam..Kita cuba titikkan satu titik..setiap hari ataupun setiap kali kita melalui kawasan cermin tersebut atau sesiapa sahaja yang melalui kawasan cermin tersebut titikkan satu titik hitam dengan menggunakan marker pen tadi. Pada suatu hari pastinya titik hitam itu akan memenuhi ruangan cermin itu…dan apabila ianya cuba dipadamkan pastilah ianya tidak secantik atau sebersih cermin yang pada awalnya begitu bersih…pasti akan ada tertinggal sedikit dari tompokan kesan hitam itu tadi…

Satu lagi kisah yang boleh kita ambil pengajaran dimana ada seorang bapa yang alim…anaknya pula sentiasa melakukan maksiat...lalu pada suatu hari si bapa ini memanggil anaknya dan berkata “Wahai anakku aku sudah tidak tahan melihat engkau melakukan maksiat, mulai hari ini apabila setiap kali kau melakukan maksiat aku akan pakukan satu paku pada tiang utama rumah ini dan apabila kau bertaubat aku akan buangkan satu paku bagi setiap kali taubat yang engkau lakukan”..Anaknya mengangguk tanda persetujuan..lalu apabila setiap kali anaknya melakukan maksiat ayahnya memakukan satu paku pada tiang utama rumah tersebut…hari demi hari berlalu anaknya masih lagi melakukan maksiat..dan setiap kali itu jugalah si bapa memakukan paku-paku tersebut..sehinggalah pada suatu hari sudah tiada tempat untuk si bapa memaku paku tersebut..lalu apabila si anak sedar akan kejadian tersebut dia menangis kerana sudah terlalu banyak maksiat yang dilakukannya sehingga sudah tiada tempat untuk bapanya memaku paku tersebut..terbayanglah si anak tadi akan begitu kotor hatinya sehingga sudah tiada tempat atau ruangan untuk titik hitam membiak di dalam hatinya..lalu bertaubatlah si anak tadi sehingga terbuang ke semua paku tersebut..kemudian apabila si anak melihat kembali tiang tersebut, semakin kuat tangisannya..Lalu si ayah bertanya “mengapakah kamu masih menangis bukankah kamu sudah bertaubat di atas dosamu itu”..lalu si anak menjawab “aku menangis kerana walaupun semua paku tersebut sudang dibuang tetapi kesan paku tersebut masih ada dan sudah tidak seperti asalnya ”…

Wallahua’alam…

Posted on Wednesday, December 09, 2009 by Zul Rasyied

No comments

26 November 2009

Ketika mana bermulanya saat kita bangun dari tidur, maka bermulalah hari baru dalam kita meneruskan perjalanan kita menuju Allah S.W.T.. Semakin lama kehidupan kita maka semakin dekat jugalah hari kita bertemuNYA Yang Esa. Itulah hipotesis yang boleh dibuat...Namun dalam kita melangkah pastinya ada hari-hari yang mana kita tergelincir dari jalan kebenaran..pastinnya ada hari yang kita lalai..mana mungkin setiap hari iman kita berada pada klimaksnya..jika itu yang terjadi bukan manusia namanya..di namakan kita manusia kerana kita ini sentiasa melakukan kesilapan, sentiasa lupa, sentiasa leka dan alpa...Teringat aku akan kisah seorang wali Allah Yang Agung, Ibrahim Bin Adham..

Suatu hari ada seorang lelaki yang menemui Ibrahim bin Adham. Dia berkata, "Wahai Aba Ishak! Selama ini aku gemar bermaksiat. Tolong berikan aku nasihat."
Setelah mendengar perkataan tersebut Ibrahim berkata, "Jika kamu mahu menerima lima syarat dan mampu melaksanakannya, maka boleh kamu melakukan maksiat."
Lelaki itu dengan tidak sabar-sabar bertanya, "Apakah syarat-syarat itu, wahai Aba Ishak?"
Ibrahim bin Adham berkata, "Syarat pertama, jika kamu bermaksiat kepada Allah, jangan memakan rezekinya."
Mendengar itu dia mengenyitkan kening seraya berkata, "Dari mana aku mahu makan? Bukankah semua yang ada di bumi ini rezeki Allah?"
"Ya!" tegas Ibrahim bin Adham. "Kalau kamu sudah memahaminya, masih mampukah memakan rezekinya, sedangkan kamu selalu berkeinginan melanggar laranganNya?"
"Yang kedua," kata Ibrahim, "Kalau mahu bermaksiat, jangan tinggal di bumiNya!"

Syarat ini membuat lelaki itu terkejut setengah mati. Ibrahim kembali berkata kepadanya, "Wahai Abdullah, fikirkanlah, apakah kamu layak memakan rezekiNya dan tinggal di bumiNya, sedangkan kamu melanggar segala laranganNya?"
"Ya! Anda benar." kata lelaki itu.
Dia kemudian menanyakan syarat yang ketiga. Ibrahim menjawab, "Kalau kamu masih mahu bermaksiat, carilah tempat tersembunyi yang tidak dapat terlihat olehNya!"
Lelaki itu kembali terperanjat dan berkata, "Wahai Ibrahim, ini nasihat macam mana? Mana mungkin Allah tidak melihat kita?"
"Ya, kalau memang yakin demikian, apakah kamu masih berkeinginan melakukan maksiat?" kata Ibrahim.
Lelaki itu mengangguk dan meminta syarat yang keempat. Ibrahim melanjutkan, "Kalau malaikat maut datang hendak mencabut rohmu, katakanlah kepadanya; Ketepikan kematianku dulu. Aku masih mahu bertaubat dan melakukan amal soleh."

Kemudian lelaki itu menggelengkan kepala dan segera tersedar, "Wahai Ibrahim, mana mungkin malaikat maut akan memenuhi permintaanku?"
"Wahai Abdullah, kalau kamu sudah meyakini bahawa kamu tidak boleh menunda dan mengundurkan datangnya kematianmu, lalu bagaimana engkau boleh lari dari kemurkaan Allah?"
"Baiklah, apa syarat yang kelima?"
Ibrahim pun menjawab, "Wahai Abdullah kalau malaikat Zabaniyah datang hendak mengiringmu ke api neraka di hari kiamat nanti, jangan engkau ikut bersamanya.
"Perkataan tersebut membuat lelaki itu insaf. Dia berkata, "Wahai Aba Ishak, sudah pasti malaikat itu tidak membiarkan aku menolak kehendaknya."
Dia tidak tahan lagi mendengar perkataan Ibrahim. Air matanya bercucuran. "Mulai saat ini aku bertaubat kepada Allah." katanya sambil terisak-isak.

Posted on Thursday, November 26, 2009 by Zul Rasyied

No comments

21 August 2009

بسم لله الرحمن الرحيم
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه ومن تبعه باحسان الى يوم الدين , أما بعد

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Segala puji bagi Allah Yang Maha Kuasa dan Maha Mengetahui. Pencipta Yang Bijaksana Maha Pemberi dan Maha Mulia. Yang Mengurus dan Mengasihi Yang menurunkan Zikir Al-Hakim. Zikir yang menghukumi dari Al-Quran yang Agung pada utusan membawa agama yang benar dan jalan yang lurus. Rahmat dan salam semoga disampaikan bagi penutup segala Rasul dan Penunjuk jalan sinar kebahagiaan dari kesesatan yang nyata. Rasul yang dimuliakan yang diutus membawa kitab termulia, Muhammad Nabi yang Ummiy dan juga keatas ahli keluarganya pembawa hidayah serta para sahabatnya sebagai insan-insan pilihan. Semoga Allah memberi salam sebanyak-banyaknya.


Bulan Ramadhan tiba lagi. Suatu bulan yang pastinya dinanti-nantikan oleh umat Muhammad s.a.w. Bulan mulia, bulan yang penuh barakah. Betapa kita semua mengharap agar dipanjangkan umur agar sempat kita berpijak di Negara Ramadhan dan memasuki Universiti Tarbiyah yang terbaik serta memperolehi segulung ijazah Lailatul Qadr. Seterusnya, diterima masuk ke Syarikat Redha Allah. Betapa indahnya hidup jika itu yang diperolehi. Namun sebelum kita diterima ke Universiti Ramadhan pastilah kita perlu menilai diri, memuhasabah dan menghisab diri terlebih dahulu di dalam Sekolah Rendah Rejab dan seterusnya Sekolah Menengah Sya’ban. Jadikan diri kita ini bersedia untuk tidak bersedia untuk ditarbiyah.

Saudara-saudari seiman seaqidah yang berbahagia,

Betapa hidup ini hanya sekejap. Hidup ini hanya sekelip mata, singgah sejenak, kita pun pergi. Pergi dan tidak kembali lagi. Sesiapa yang menghisab dirinya sebelum dihisab maka akan diringankan hisabnya di akhirat kelak. Kemudian didatangkan jawabnya ketika disoal dan keelokan tempat kembali. Sebaliknya barangsiapa yang tidak menghisab dirinya maka berkekalanlah kedukaannya dan panjanglah penghisabannya di Hari Pembalasan. Betapa Imam Al-Ghazali telah menetapkan beberapa marhalah untuk bermuhasabah iaitu:

Marhalah Pertama : Al Musyarothoh
Pada marhalah ini kita mengenali diri bahawa diri itu adalah diri kita sendiri dan hati itu adalah hati kita. Ditangan kitalah terserah segala amalan baik dan buruk. Ketahuilah bahawa membaiki diri adalah dengan amalan yang soleh manakala kerosakan diri adalah berpunca daripada maksiat dan kejahatan.

Marhalah Kedua : Al Murokobah
Intai-intailah diri sewaktu mengharungi amalan dan perhatikanlah dengan mata hati. Sekiranya kita mendapati bahawa diri kita telah melanggari hak-hak Allah lantas melakukan maksiat terhadapnya maka segeralah bertaubat dan baikilah diri dengan mentaati segala suruhan dan larangannya.

Marhalah Ketiga : Al Muhasabah
Apabila seseorang hamba itu menghisab dirinya pada akhir waktu, adakalanya rutin seharian yang dilalui dipenuhi dengan ketaatan. Justeru, sewajarnya hamba itu memuji Allah, berdoa dengan penuh kesabaran dan thabat diatas perkara tersebut. Sekiranya, kehidupan seharian hamba itu dipenuhi dengan maksiat dan dosa maka hendaklah dia berhenti, mencela dan menegah dirinya daripada mengulangi apa yang telah dilakukan sebelum itu.

Marhalah Keempat : Al Muakobah
Amaran dan tegahan untuk tidak melakukan dosa dan maksiat tidak memadai sekiranya tidak diiringi iqab (denda) yang zahir agar iqab itu menjadi penolak dan penghalang kepada dosa atau maksiat yang telah dilakukan. Ada satu kisah dimana Khalifah Islam Kedua Saidina Umar Al-Khattab telah mendera dirinya sendiri kerana meninggalkan solat Asar berjemaah dengan menyedekahkan tanahnya yang bernilai 200 ribu dirham. Manakala sesetengah ulama’ pula mewajibkan diri dengan berpuasa selama setahun, berjalan kaki menunaikan haji dan sebagainya dengan tujuan untuk menta’dib dan mentarbiah diri agar tidak mengulangi tegahan Allah S.W.T..

Marhalah Kelima : Al Mujahadah
Sentiasalah berwaspada, bermuhasabah, melaksanakan iqab dan bermujahadah dari semasa ke semasa dan beramallah dengan amalan-amalan yang dikehendaki oleh Allah S.W.T. dengan bersungguh-sungguh agar tidak futur di pertengahan jalan.

Kita sudah tiada banyak waktu wahai saudara-saudariku yang ku kasihi dan cintai sekalian. Segeralah bermuhasabah dan gunakan kesempatan yang ada dalam mentarbiyah diri serta ingatlah akan hala tuju dan persediaan kita untuk berhadapan dengan Raja segala raja, Majistret Mahkamah Teragung, Allah S.W.T. di Padang Mahsyar kelak. Adakah hari-hari yang bakal kita selami dan terokai ini lebih baik daripada semalam? Moga-moga kita semua berada dalam lembayung rahmat kasih dan memperolehi keredhaannya serta ditempatkan bersama hambanya yang solih. Amin…

Astaghfirullah, sungguh tidak layak bagi diriku melarik kata, sedangkan diri ini masih lagi bermesra dengan lautan dosa, namun sekadar inilah yang mampu insan ini memelodikan pena, maafkan dan tegurlah jika tersilap bicara…

Posted on Friday, August 21, 2009 by Zul Rasyied

No comments

09 July 2009


"Ehh,awalnya..."

"Dah masuk waktu ke.."

"Ala..cepatnya masuk waktu.."

"Ishh..awalnya..aku baru nak makan nie..tdo pun tak sempat lagi.."

hampir setiap waktu, setiap ketika, setiap saat, bila mana azan berkumandang mendendangkan alunan seruan Ilahi...agar mengagungkan kebesaran diriNya.. agar manusia yang beriman bersama manusia yang diharapkan diberi hidayahNya menuju jalan kejayaan sebenar dan tidak terperosok ke lembah kehancuran..yang diidamkan syaitan dan iblis laknatullahialaih dan juga sekutu kuatnya yahudi zionis serta rakan sekerjanya...kita sering kali leka dan alpa..

kita sering kali leka...setiap kali pasti kata-kata diatas tersembul keluar dari mulut manis kita..mulut becok..yang tidak kenal erti rasa syukur..sering kali kita mengomel..senantiasa kita bermasam muka pada saat itu..

hakikatnya..pada siapakah ditujukan omelan kita itu..pada siapakah kita bermasam muka..pada siapakah kita cuba tawar menawar agar dilewatkan waktu solat..

tidak ingatkah kita bahawasanya perasaan malu menyelubungi hati sanubari Rasul Allah s.a.w saat ketika Baginda berulang alik memohon agar dikurangkan waktu solat..jika bukan kerana Baginda s.a.w nescaya kita tiada waktu yang cukup untuk menunaikan solat..itupun setelah dikurangkan Allah kerana jerih perih Baginda s.a.w...kita masih punyai mulut untuk tawar menawar??!!

manusia jenis apakah kita setelah diberi Allah suatu pemberian yang teramat bernilai..yang junjungan mulia kita sendiri menerimanya..kita masih bermasam muka..apakah kita bermasam muka dengan Allah..apakah kita memperlekehkan pemberianNya...sungguh jika itu yang terjadi, kita bukanlah manusia yang kenal erti syukur..setelah Dia memberi kita suatu pemberian yang tiada taranya..setelah dia berikan kita kaki untuk berpijak..tangan untuk kepelbagaian guna..mata untuk melihat..mulut untuk berkata-kata..bumi untuk ditadbir..apakah ini balasan kita padaNya??..Dia hanya meminta agar kita beribadat kepadaNya..taat kepada perintah dan arahanNya..itupun kita tidak mampu untuk lakukan..masih lagi kita tiada menurut perintahNya..undang-undang bagaikan kita yang punya..diri orang lain bagaikan milik kita..sentiasa mencaturkan manusia lainnya..

teringat aku pada ketika zaman sahabat..mereka mereka langsung tiada mengeluarkan walau sepatah perkataan pun ketika mana azan dilaungkan..malah mereka menghayati seruan Allah..sehingga ada yang pengsan tidak sedarkan diri hanya kerana terdengar perkataan Allah dilaungkan...kedai-kedai ditutup..segala macam kerja dihentikan seberapa segera yang boleh..apatah lagi harta mereka ditinggalkan begitu sahaja..mereka langsung tidak dikelambukan dengan apa-apa kebimbangan...sehingga tiada terasa ada yang lebih penting dari menunaikan kewajipan solat lima waktu..mereka begitu asyik melayari bahtera cinta kepada Allah..

cubalah kita sama-sama memikirkan, apakah susah bagi kita mengucapkan "alhamdulillah..dah masuk waktu"....


Firman Allah :

"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan berwasiat (nasihat-menasihati) dengan kebenaran dan berwasiat dengan kesabaran" (Al-'Asr :103)

Posted on Thursday, July 09, 2009 by Zul Rasyied

No comments