Persembahan Ucapan
Yang Amat Berhormat Tuan Guru Dato Bentara Setia
Menteri Besar Kelantan
Di Majlis Santapan Malam
Sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan
KDYMM Sultan Muhammad V Yang ke 42 Tahun 2011
Pada 15 Zulhijjah 1432H bersamaan 11 November 2011 M
Bertempat di : Dewan Jamuan Utama Kompleks Kota Darul Naim, Kota Bharu.
Jam : 8.30 malam
--------------------------------------------------
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
بسم الله الرحمن الرحيم
وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ
Yang bermaksud : Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras". - Surah Ibrahim, ayat 7
Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadhrat Allah SWT, selawat dan salam berpanjangan ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, serta seluruh ahli keluarga, sahabat dan pendokong ajarannya di seluruh pelusuk bumi.
Mengadap Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V, Sultan bagi Negeri Kelantan Darul Naim dan Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan.
Ampun Tuanku, sembah patik harap diampun.
Di kesempatan yang sangat berharga ini, patik menjunjung kasih mengucapkan tahniah yang tidak terhingga di atas sambutan hari keputeraan Tuanku yang ke-42 yang telah disambut pada hari ini. Semoga Tuanku berada dalam keafiatan, bersemayam di takhta kerajaan dengan segala kebesaran dan kedaulatan, terus berperanan sebagai lambang keutuhan negeri sebagai payung yang menaungi seluruh rakyat. Semoga negeri dan rakyat Kelantan yang berada di bawah payung naungan tuanku akan dilimpahkan segala keberkatan dan kesejahteraan jua hendaknya, amin.
Ampun Tuanku, sembah patik harap diampun
Sesungguhnya nikmat umur yang berpanjangan yang dianugerahkan oleh Allah SWT merupakan satu nikmat yang perlu disyukuri. Ini kerana dengan kesyukuran yang berpanjangan akan melipatgandakan lagi keberkatan yang akan dikurniakan oleh Allah SWT, Pemilik Tunggal Kerajaan Langit dan Bumi. Justeru, patik pohon perkenan Tuanku untuk mengingatkan diri Patik dan seluruh hadirin sekalian agar melafazkan pujian dan syukur yang tidak terhingga kepada Allah SWT di atas segala nikmat yang telah dikurniakan sehingga mampu untuk kita bernafas di hari ini. Tanpa belas kasihan dan rahmat daripada Allah SWT, mana mungkin nafas kita dapat berhembus, nadi kita dapat berdenyut dan darah kita dapat mengalir. Bertitik tolak dari hakikat inilah, Rasulullah SAW mengingatkan kita bagaimana nikmat umur yang panjang serta kesihatan yang sejahtera jarang sekali disyukuri oleh manusia. Sabda Rasulullah SAW :
نِعْمَتَانِ مَغْبُونٌ فِيهِمَا كَثِيرٌ مِنْ النَّاسِ الصِّحَّةُ وَالْفَرَاغُ
Yang bermaksud : Dua nikmat yang kebanyakan manusia kerugian (untuk mensyukuri) padanya, iaitu: kesehatan dan kelapangan masa. – Hadis riwayat al-Bukhari.
Ampun Tuanku, sembah patik harap diampun
Sesungguhnya pentadbiran kerajaan negeri Kelantan di bawah naungan Tuanku telah banyak melangkah ke hadapan mengorak langkah menjalankan urus tadbir ke arah menjadikan negeri ini sebagai sebuah negeri berkebajikan dan menaungi golongan mustadhafin. Dalam hal ini sukalah patik memaklumkan kepada Tuanku bahawa Dewan Undangan Negeri baru sahaja bersidang untuk kali ketiga (belanjawan) bagi tempoh penggal yang keempat Dewan Undangan Negeri Kelantan yang kedua belas bermula 19 Zulkaedah 1432H bersamaan 17 Oktober 2011M yang lalu. Persidangan selama 4 hari itu telah menyaksikan pembentangan bajet yang bertemakan Kesejahteraan Bersama Keberkatan melibatkan perbelanjaan mengurus untuk tahun 2012 sebanyak RM513.49 Juta berbanding sebanyak RM464.13 Juta dalam tahun 2011, iaitu meningkat sebanyak RM49.36 Juta atau 11 peratus. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM254.94 Juta adalah untuk peruntukan pembangunan. Sukalah patik memaklumkan kepada Tuanku jua bahawa anggaran hasil pendapatan kerajaan negeri Kelantan terus meningkat dari setahun ke setahun. Untuk tahun 2012, kita menganggarkan bahawa Anggaran Hasil Negeri pada Tahun 2012 dijangka akan diperolehi sebanyak RM 430.27 Juta yang meliputi Hasil Cukai sebanyak RM 88.49 Juta, Hasil Bukan Cukai sebanyak RM 196.24 Juta, sementara Terimaan Bukan Hasil sebanyak RM 145.54 Juta. Jumlah tersebut menunjukkan berlakunya peningkatan dalam hasil sebanyak RM19.38 Juta ataupun sebanyak 5 peratus berbanding dengan Anggaran Hasil Tahun 2011. Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT yang terus menerus mengurniakan keberkatan dan kemakmuran terhadap negeri Kelantan Darul Naim di bawah naungan Tuanku.
Ampun Tuanku, sembah patik harap diampun
Patik juga pohon perkenan Tuanku untuk memaklumkan bahawa Kelantan telah mendapat pujian dan pengiktirafan dari Ketua Audit Negara menerusi Laporan Audit 2010 yang dibentangkan baru-baru ini. Untuk makluman Tuanku, laporan tersebut memuji pengurusan kewangan untuk semua agensi kerajaan negeri di Kelantan, yang mana empat agensi kerajaan negeri mendapat ‘sangat baik’ dan 15 lagi mendapat ‘baik’. Ini menunjukkan peningkatan di dalam pengurusan kewangan negeri berbanding tahun 2009 di mana hanya dua agensi yang mendapat ‘sangat baik’ dan 12 mendapat ‘baik’. Sekali lagi Alhamdulillah, berkat penerapan dasar Membangun Bersama Islam dan juga naungan Duli Yang Mulia Tuanku, para pentadbir dan seluruh warga kerja terus mencatat budaya kecemerlangan bersama teras Ubudiah, Itqan dan Mas;uliyyah.
Ampun Tuanku, sembah patik harap diampun
Patik pohon ampun perkenan tuanku untuk menyampaikan hasrat sekalian rakyat jelata keseluruhannya. Sesungguhnya bunga di jambangan hanya akan berseri jika digandingkan dengan bunga yang lain. Demikian juga burung yang terbang tinggi di awan, indah dan gagah jika terbang sekawan. Demikian jualah dengan Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Seri dan daulat tuanku bertambah indah di pandangan dan bertambah lengkap ceria jika diserikan dengan kehadiran ratu di samping penguat semangat dan pendamping Tuanku. Patik memohon supaya Tuanku insya-allah akan bertemu jodoh yang terbaik sebagai gandingan Tuanku untuk menaungi negeri Kelantan bumi Serambi Mekah ini. Patik dan seluruh pacal rakyat sekalian menunggu saat dan detik untuk meraikan hari gembira tersebut. Ampun Tuanku.
Sekali lagi bagi pihak seluruh warga tadbir dan pacal rakyat sekalian, patik merafakkan sembah melafazkan ikrar taat setia kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Semoga Tuanku serta seluruh usrah Diraja sekalian sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT sepanjang masa.
Islam Dijunjung, Raja Disanjung, Rakyat Dipayung.
Allahuakbar.
Patik sudahi dengan :
أقول قولي هذا وأستغفر الله العظيم لي ولكم والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته
0 comments:
Post a Comment