بسم لله الرحمن الرحيم
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه ومن تبعه باحسان الى يوم الدين , أما بعد

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Segala puji bagi Allah Yang Maha Kuasa dan Maha Mengetahui. Pencipta Yang Bijaksana Maha Pemberi dan Maha Mulia. Yang Mengurus dan Mengasihi Yang menurunkan Zikir Al-Hakim. Zikir yang menghukumi dari Al-Quran yang Agung pada utusan membawa agama yang benar dan jalan yang lurus. Rahmat dan salam semoga disampaikan bagi penutup segala Rasul dan Penunjuk jalan sinar kebahagiaan dari kesesatan yang nyata. Rasul yang dimuliakan yang diutus membawa kitab termulia, Muhammad Nabi yang Ummiy dan juga keatas ahli keluarganya pembawa hidayah serta para sahabatnya sebagai insan-insan pilihan. Semoga Allah memberi salam sebanyak-banyaknya.


Bulan Ramadhan tiba lagi. Suatu bulan yang pastinya dinanti-nantikan oleh umat Muhammad s.a.w. Bulan mulia, bulan yang penuh barakah. Betapa kita semua mengharap agar dipanjangkan umur agar sempat kita berpijak di Negara Ramadhan dan memasuki Universiti Tarbiyah yang terbaik serta memperolehi segulung ijazah Lailatul Qadr. Seterusnya, diterima masuk ke Syarikat Redha Allah. Betapa indahnya hidup jika itu yang diperolehi. Namun sebelum kita diterima ke Universiti Ramadhan pastilah kita perlu menilai diri, memuhasabah dan menghisab diri terlebih dahulu di dalam Sekolah Rendah Rejab dan seterusnya Sekolah Menengah Sya’ban. Jadikan diri kita ini bersedia untuk tidak bersedia untuk ditarbiyah.

Saudara-saudari seiman seaqidah yang berbahagia,

Betapa hidup ini hanya sekejap. Hidup ini hanya sekelip mata, singgah sejenak, kita pun pergi. Pergi dan tidak kembali lagi. Sesiapa yang menghisab dirinya sebelum dihisab maka akan diringankan hisabnya di akhirat kelak. Kemudian didatangkan jawabnya ketika disoal dan keelokan tempat kembali. Sebaliknya barangsiapa yang tidak menghisab dirinya maka berkekalanlah kedukaannya dan panjanglah penghisabannya di Hari Pembalasan. Betapa Imam Al-Ghazali telah menetapkan beberapa marhalah untuk bermuhasabah iaitu:

Marhalah Pertama : Al Musyarothoh
Pada marhalah ini kita mengenali diri bahawa diri itu adalah diri kita sendiri dan hati itu adalah hati kita. Ditangan kitalah terserah segala amalan baik dan buruk. Ketahuilah bahawa membaiki diri adalah dengan amalan yang soleh manakala kerosakan diri adalah berpunca daripada maksiat dan kejahatan.

Marhalah Kedua : Al Murokobah
Intai-intailah diri sewaktu mengharungi amalan dan perhatikanlah dengan mata hati. Sekiranya kita mendapati bahawa diri kita telah melanggari hak-hak Allah lantas melakukan maksiat terhadapnya maka segeralah bertaubat dan baikilah diri dengan mentaati segala suruhan dan larangannya.

Marhalah Ketiga : Al Muhasabah
Apabila seseorang hamba itu menghisab dirinya pada akhir waktu, adakalanya rutin seharian yang dilalui dipenuhi dengan ketaatan. Justeru, sewajarnya hamba itu memuji Allah, berdoa dengan penuh kesabaran dan thabat diatas perkara tersebut. Sekiranya, kehidupan seharian hamba itu dipenuhi dengan maksiat dan dosa maka hendaklah dia berhenti, mencela dan menegah dirinya daripada mengulangi apa yang telah dilakukan sebelum itu.

Marhalah Keempat : Al Muakobah
Amaran dan tegahan untuk tidak melakukan dosa dan maksiat tidak memadai sekiranya tidak diiringi iqab (denda) yang zahir agar iqab itu menjadi penolak dan penghalang kepada dosa atau maksiat yang telah dilakukan. Ada satu kisah dimana Khalifah Islam Kedua Saidina Umar Al-Khattab telah mendera dirinya sendiri kerana meninggalkan solat Asar berjemaah dengan menyedekahkan tanahnya yang bernilai 200 ribu dirham. Manakala sesetengah ulama’ pula mewajibkan diri dengan berpuasa selama setahun, berjalan kaki menunaikan haji dan sebagainya dengan tujuan untuk menta’dib dan mentarbiah diri agar tidak mengulangi tegahan Allah S.W.T..

Marhalah Kelima : Al Mujahadah
Sentiasalah berwaspada, bermuhasabah, melaksanakan iqab dan bermujahadah dari semasa ke semasa dan beramallah dengan amalan-amalan yang dikehendaki oleh Allah S.W.T. dengan bersungguh-sungguh agar tidak futur di pertengahan jalan.

Kita sudah tiada banyak waktu wahai saudara-saudariku yang ku kasihi dan cintai sekalian. Segeralah bermuhasabah dan gunakan kesempatan yang ada dalam mentarbiyah diri serta ingatlah akan hala tuju dan persediaan kita untuk berhadapan dengan Raja segala raja, Majistret Mahkamah Teragung, Allah S.W.T. di Padang Mahsyar kelak. Adakah hari-hari yang bakal kita selami dan terokai ini lebih baik daripada semalam? Moga-moga kita semua berada dalam lembayung rahmat kasih dan memperolehi keredhaannya serta ditempatkan bersama hambanya yang solih. Amin…

Astaghfirullah, sungguh tidak layak bagi diriku melarik kata, sedangkan diri ini masih lagi bermesra dengan lautan dosa, namun sekadar inilah yang mampu insan ini memelodikan pena, maafkan dan tegurlah jika tersilap bicara…