29 March 2010


Pagar yang memisahkan antara penonton lelaki (kanan) dan wanita (kiri).

KOTA BHARU, 28 Mac – Penganjur Konsert Jom Heboh yang berlangsung di Stadium Sultan Mohd Ke-IV, di sini malam tadi mengotakan janji untuk mematuhi syarat dikenakan kerajaan negeri, antaranya pengasingan tempat duduk antara penonton lelaki dan perempuan.

Selain itu hanya artis lelaki – tiada artis perempuan sebagaimana lazimnya – yang membuat persembahan pada konsert Jom Heboh pertama selepas pelancaran di Stadium Bukit Jalil hujung Februari lalu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Media Prima, Dato’ Sri Ahmad Farid Ridzuan, pihaknya bercadang untuk menjadikan konsert Jom Heboh di Kota Bharu sebagai model bagi konsert seterusnya di negeri-negeri lain bermula di Johor Bahru selepas ini.

Sambil melahirkan rasa kagumnya di atas sambutan amat menggalakkan Ahmad Farid secara jujur mengakui Kelantan adalah negeri yang begitu berjaya bagi penganjuran program Jom Heboh selama dua hari.

“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz serta kakitangan kerajaan negeri yang begitu mesra dalam memberi kerjasama kepada kami dalam menjayakan program ini untuk kali pertama di Kelantan dan Insya-Allah ia akan diadakan pada setiap tahun di sini sekiranya mendapat kelulusan pihak kerajaan negeri,” katanya.

Menurut beliau, pihak penganjur tiada masalah untuk memenuhi syarat dikenakan kerajaan negeri termasuk pengasingan tempat duduk lelaki dan wanita serta tiada persembahan melibatkan artis wanita.

“Alhamdulillah semuanya berjalan lancar.. kita akur akan syarat dikenakan.. begitu juga Baginda Tengku Mahkota Kelantan yang berangkat pada hari pertama program (Jumaat).. Baginda sangat gembira melihat rakyat negeri ini mengambil kesempatan membawa bersama keluarga masing-masing khasnya bagi mengikuti program Al-Kulliyyah.

“Saya juga ingin memohon maaf kepada kerajaan Kelantan sekiranya selama dua hari Jom Heboh berada di Kelantan ada sedikit sebanyak kekurangan yang berlaku dan ia akan ditingkatkan pada masa akan datang.

“Saya lihat penonton begitu gembira hadir ke konsert ini walaupun mereka di bahagikan kepada tiga tempat yang dihalang dengan pagar besi di antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui sejurus konsert berakhir malam tadi.

Dianggarkan lebih 50,000 penonton, kebanyakannya golongan muda mudi membanjiri segenap ruang Stadium Sultan Mohd Ke-IV untuk mengikuti konsert Jom Heboh yang pertama kali berlangsung di negeri ini.

Antara artis yang mengadakan persembahan malam tadi termasuk Kumpulan Raihan, Yassin (bekas anggota kumpulan nasyid Brothersa), Jamal Abdillah, Jay Jay dan artis dikir barat tersohor negeri ini, Megat Nordin.




Konsert Jom Heboh di Kota Bharu berjaya mengasingkan antara penonton lelaki dan wanita serta pasangan berkeluarga.



sebahagian penonton wanita yang memenuhi Stadium Sultan Mohd Ke-IV untuk mengikuti konsert Jom Heboh TV3.



Sebahagian daripada puluhan ribu penonton yang memenuhi Stadium Sultan Mohd Ke-IV untuk menyaksikan Konsert Jom Heboh dari dekat.



Konsert Jom Heboh TV3 yang berjaya dianjurkan buat pertama kali di Kelantan.


Kawasan yang dikhaskan untuk pasangan keluarga.

Posted on Monday, March 29, 2010 by Zul Rasyied

No comments

24 March 2010


Bismillahirrahmanirrahim,

Setiap apa yang kita lakukan dalam hidup kita, kita perlulah sentiasa mempunyai adab sopan dan beransur-ansur dalam setiap tindakan kita. Agar tindakan atau keputusan yang telah kita ambil itu merupakan keputusan yang terbaik. Pepatah Melayu ada menyebut "Biar Lambat Asal Selamat".

Begitu juga dalam kita melakukan gerak kerja Islam. Ini kerana jalan yang bakal kita lalui adalah hebat cabarannya dan jauh perjalanannya. Manakala matlamatnya pula adalah besar dan mulia. Apabila kita sentiasa beransur-ansur dalam melakukan gerak kerja Islam dan memberikan tumpuan kepada kerja-kerja tertentu mengikut keperluan, ia akan membawa gerak kerja Islam kepada matlamat sebagaimana yang dikehendaki.

Maka Imam Hassan al-Banna telah menetapkan bahawa dakwah ini mempunyai tiga peringkat(marhalah) atau tangga yang mesti di naiki tanpa langkauan :

  1. Peringkat Pengenalan (Ta'rif)
  • Ia dimulakan dengan menyiarkan fikrah secara umum tenang Islam kepada orang ramai. Caranya adalah dengan menimbulkan kesedaran, memberikan pengajaran, mendirikan institusi yang memberikan faedah dan sebagainya yang dirasakan sesuai.
2. Peringkat Pembentukan (Takwin)
  • Peringkat ini dilaksanakan dengan memilih mereka-mereka yang baik (dari marhalah pertama) dan sanggup memikul beban jihad dengan cara menggemblengkan tenaga mereka dalam kerja-kerja dakwah. Susunannya adalah bersifat kesufian dari sudut kerohanian dan ketenteraan dari sudut gerak kerja. Dakwah pada peringkat ini tidak dapat dilaksanakan kecuali oleh orang yang benar-benar mempunyai persediaan untuk memikul bebanan jihad yang berat dan memakan waktu. Persediaan yang paling awal boleh dilakukan adalah dengan meletakkan kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada perjuangan Islam.
3. Peringkat Perlaksanaan (Tanfiz)
  • Dakwah dalam peringkat(marhalah) ini adalah jihad yang tidak mengenal penat lelah dan kerehatan malah amal yang tidak mengenal putus asa demi mencapai matlamat yang diperjuangkan. Ujian dan cabarannya tidak dapat dihadapi melainkan oleh orang yang benar keimanannya. Kejayaan tidak berhasil melainkan dengan memberikan ketaatan yang sempurna dan mutlak.

Wallahu'alam.

Posted on Wednesday, March 24, 2010 by Zul Rasyied

No comments