Bismillahirrahmanirrahim,

Setiap apa yang kita lakukan dalam hidup kita, kita perlulah sentiasa mempunyai adab sopan dan beransur-ansur dalam setiap tindakan kita. Agar tindakan atau keputusan yang telah kita ambil itu merupakan keputusan yang terbaik. Pepatah Melayu ada menyebut "Biar Lambat Asal Selamat".

Begitu juga dalam kita melakukan gerak kerja Islam. Ini kerana jalan yang bakal kita lalui adalah hebat cabarannya dan jauh perjalanannya. Manakala matlamatnya pula adalah besar dan mulia. Apabila kita sentiasa beransur-ansur dalam melakukan gerak kerja Islam dan memberikan tumpuan kepada kerja-kerja tertentu mengikut keperluan, ia akan membawa gerak kerja Islam kepada matlamat sebagaimana yang dikehendaki.

Maka Imam Hassan al-Banna telah menetapkan bahawa dakwah ini mempunyai tiga peringkat(marhalah) atau tangga yang mesti di naiki tanpa langkauan :

  1. Peringkat Pengenalan (Ta'rif)
  • Ia dimulakan dengan menyiarkan fikrah secara umum tenang Islam kepada orang ramai. Caranya adalah dengan menimbulkan kesedaran, memberikan pengajaran, mendirikan institusi yang memberikan faedah dan sebagainya yang dirasakan sesuai.
2. Peringkat Pembentukan (Takwin)
  • Peringkat ini dilaksanakan dengan memilih mereka-mereka yang baik (dari marhalah pertama) dan sanggup memikul beban jihad dengan cara menggemblengkan tenaga mereka dalam kerja-kerja dakwah. Susunannya adalah bersifat kesufian dari sudut kerohanian dan ketenteraan dari sudut gerak kerja. Dakwah pada peringkat ini tidak dapat dilaksanakan kecuali oleh orang yang benar-benar mempunyai persediaan untuk memikul bebanan jihad yang berat dan memakan waktu. Persediaan yang paling awal boleh dilakukan adalah dengan meletakkan kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada perjuangan Islam.
3. Peringkat Perlaksanaan (Tanfiz)
  • Dakwah dalam peringkat(marhalah) ini adalah jihad yang tidak mengenal penat lelah dan kerehatan malah amal yang tidak mengenal putus asa demi mencapai matlamat yang diperjuangkan. Ujian dan cabarannya tidak dapat dihadapi melainkan oleh orang yang benar keimanannya. Kejayaan tidak berhasil melainkan dengan memberikan ketaatan yang sempurna dan mutlak.

Wallahu'alam.
Reactions: