Sebuah gerakan islam ataupun Harakah Islamiyyah myakini bahawa perbezaan (differences) dalam perkara furu'iyyah (perkara cabang) dalam feqah merupakan suatu perkara yang sememangnya tidak dapat dielakkan. Atas sebab inilah maka Harakah Islamiyyah berusaha sedaya upaya untuk menyeru umat Islam agar sentiasa bersatu di atas perkara-perkara dasar iaitu perkara-perkara pokok di dalam Islam.

Di atas pendirian ini maka Imam Hassan Al-Banna telah berkata

"Kita bukanlah sebuah parti politik, sekalipun parti politik (siasah) yang berasaskan kaedah-kaedah Islam adalah intisari fikrah kita. Kita bukanlah pertubuhan kebajikan sekalipun 'amal kebajikan dan khairat adalah di antara tujuan gerakan kita yang sangat besar. Kita juga bukanlah perkumpulan riadah sekalipun riadah atau rekreasi jasadiyyah dan riadah ruhiyyah adalah di antara wasilah-wasilah yang kita amalkan.

Kita bukanlah sebuah jama'ah dalam pengertian seperti pertubuhan-pertubuhan tersebut kerana kelahiran pertubuhan tersebut adalah untuk matlamat2 tertentu dan untuk jangka waktu yang tertentu pula. Boleh jadi pertubuhan-pertubuhan berkenaan ditubuhkan semata-mata kerana ingin mengadakan persatuan dan cita-cita inginkan gelaran dan kedudukan dalam pentadbiran dan organisasi tersebut?

Tetapi perjuangan kita adalah perjuangan yang berdasarkan fikrah dan 'aqidah, nizam dan manhaj yang tidak membataskan tujuan dan matlamat hanya kepada bangsa tertentu dan kawasan atau wilayah tertentu sahaja. Perjuangan kita tidak akan berhenti dengan penyelesaian masalah tertentu malah ia akan berterusan hingga ke hari kiamat kerana Islam adalah sistem ciptaan Tuhan alam semesta ini dan manhaj RasulNya yang paling dipercayai.

Kita menyatakan kepada manusia secara tidak bermegah2 bahawa kita adalah pegikut Rasulullah S.A.W. yang menjadi pembawa panji2 Islam selepas kewafatan baginda. Kita adalah angkatan yang menjulang kembali bendera Rasulullah sebagaimana para sahabatnya. Kita akan menyiarkan dakwah baginda sebagaimana yang telah disiarkan oleh mereka. Kita akan memelihara kandungan kitab suci Al-Quran sebagaimana para sahabat telah memeliharanya. Kita adalah pembawa berita gembira melalui dakwah baginda sebagaimana para sahabat telah melakukannya dan ia akan menjadi rahmat seluruh alam. Anda pasti akan dapat mengetahui perkhabarannya dalam sedikit masa lagi".....